Yayasan Sarawak – Sanjung Etika kukuhkan kedudukan carta liga

KUCHING: Juara bertahan, Yayasan Sarawak – Sanjung Etika mengukuhkan kedudukan di persada Liga Samarahan 2016 selepas berjaya menewaskan Tambirat RG4 FC dengan 2-1 pada perlawanan berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya Sabtu lalu.

Skuad kendalian Sulaiman Sahari itu kini selesa di puncak liga dengan mengumpul enam mata hasil daripada dua kemenangan.

Mereka meraih tiga mata pertama selepas menewaskan Ocean Eagle FC Samarahan dengan 5-0 pada perlawanan pembukaan awal bulan ini di venue sama.

Dalam satu lagi perlawanan berlangsung di Padang Sindang Baru, Kota Samarahan Sabtu lalu, Kapaku FC mengecewakan Ocean Eagle FC Samarahan dengan 2-1 untuk melonjak tangga ketiga.

Ocean Eagle yang belum mencatat sebarang kemenangan dalam dua perlawanan kini menghuni tangga keenam liga.

Sementara itu, Sambir Bistari FC mencatat kemenangan pertama dengan membenam Team Kickalob FC dengan 3-0 pada perlawanan berlangsung di Padang Sindang Baru, Kota Samarahan kelmarin.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Jalek Japar menghuni tangga kedua liga setakat ini.

“Syabas kepada semua pemain atas kejayaan mengutip kemenangan pertama ini. Saya berharap semua pemain dapat mengekalkan momentum ini apabila turun menentang Yayasan Sarawak – Sanjung Etika pada Ahad ini di Padang Sindang Baru, Kota Samarahan,” kata Jalek di sini semalam.

Sementara itu, pendatang baharu SEB Football Team akan memulakan saingan menentang Team Kickalob FC pada Sabtu ini di Kompleks Sukan Asajaya.

Manakala di Padang Sindang Baru, pasukan Tambirat RG4 FC akan melayan Ocean Eagle FC Samarahan pada hari sama. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda