Tiada Mangsa Dalam 4WD Jatuh Dari Feri – Bomba

SAMARAHAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesahkan tiada mangsa dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terjatuh dari sebuah feri di Jeti Kampung Muara Tuang di sini malam tadi seperti didakwa oleh orang ramai.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, pasukan penyelam bomba yang menemui kenderaan jenis Toyota Land Cruiser itu pada pukul 3 petang tadi mengesahkan tiada mangsa di dalamnya.

“Saya sahkan tiada mangsa dalam kenderaan 4WD yang terjunam ke dalam Sungai Samarahan.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada kesan mangsa cuba keluar daripada kenderaan tersebut. Operasi ditamatkan pada pukul 3.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam tadi, ketika feri berkenaan menghampiri jeti kampung tersebut, sebuah kenderaan 4WD jenis Toyota Land Cruiser itu tiba-tiba terjatuh ke dalam Sungai Samarahan, namun pemandunya berjaya diselamatkan oleh orang ramai.

Difahamkan, mangsa, Liang Rengga, 56, mengesahkan tiada sesiapa di dalam kenderaan berkenaan, namun orang ramai menyatakan terdapat seorang lelaki di dalamnya. – Malaysian Digest

Tinggalkan komen anda