Terus gagal raih Piala Thomas, tewas separuh akhir

CHINA: Skuad Malaysia terus berputih apabila gagal ke peringkat akhir Piala Thomas 2016, selepas kalah kepada Denmark 2-3 dalam pusingan separuh akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Kunshan, dekat sini.

Skuad Malaysia dilihat mempunyai peluang yang cerah ke peringkat akhir apabila menang dua set pertama dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mudah menundukkan Viktor Axelsen dengan ‘straight set‘ 23-21, 21-18 serta gandingan regu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menewaskan Mathias Boe-Mads Conrad Petersen ‘straight set‘ 21-18, 21-18.

Kegembiraan berada di kedudukan cemerlang tidak bertahan lama apabila Iskandar Zulkarnain Zainuddin terpaksa akur kalah kepada Hans Kristian Vittinghus 18-21, 18-21.

Skuad negara dilihat mempunyai harapan untuk menang dengan beregu kedua negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menang pada set pertama 21-10, namun gandingan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen membawa perlawanan ke set ketiga menyaksikan skuad negara tewas 8-21 dan 13-21.

Harapan terakhir yang disandarkan kepada perseorangan ketiga Chong Wei Feng ternyata gagal disempurnakan apabila Emil Holst menewaskan Feng, 15-21 dan 18-21. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda