Tentang Samarahan

Sejarah Samarahan

tentang samarahan

Samarahan, atau nama asalnya Pekan Muara Tuang merupakan salah satu daripada 11 bahagian yang terdapat di negeri Sarawak. Nama Pekan Muara Tuang diambil bersempena kedudukan antara dua buah sungai, iaitu Sungai Tuang dan Sungai Samarahan.

Bermula dengan sebuah daerah kecil yang diletakkan di bawah Daerah Kuching, Daerah Samarahan dikenali sebagai Daerah Kecil Muara Tuang yang ditadbir oleh seorang Pegawai Tadbir Sarawak. Pejabat Daerah Kecil Muara Tuang merupakan antara bangunan pentadbiran terawal yang didirikan di Daerah Samarahan pada 1983.

Sebagai sebuah pekan kecil dan terpencil, infrastruktur yang minima dan laluan sungai sebagai laluan utama menyebabkan daerah ini tampak berada dalam serba kekurangan. Namun, penggabungan Daerah Kecil Muara Tuang dan Daerah Kecil Nonok telah membuka peluang kepada kerajaan bagi memajukan kawasan ini.

Daerah Kecil Muara Tuang dinaiktaraf kepada daerah baharu pada 19 Ogos 1983 dengan nama Daerah Samarahan. Dengan keluasan 407.08 kilometer persegi, Pejabat Daerah Samarahan dengan kuasa yang diberikan kepada Pegawai Daerah Samarahan bertanggungjawab dalam menguruskan daerah ini.

Mengikut Laporan Kiraan 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2010, populasi penduduk di Daerah Samarahan adalah 86,275, berbanding 46,966 pada tahun 2000 dan 33,173 pada tahun 1991. Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat di kawasan sekitar meletakkan daerah ini di kedudukan kelima kawasan pesat membangun selepas Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.