TDM ikrar pastikan keselamatan sempadan

SAMARAHAN : Tentera Darat Malaysia (TDM) berikrar akan memastikan setiap perbatasan di negeri ini terus bebas daripada menjadi lokasi pemerdagangan manusia dan penyeludupan.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, pelbagai usaha giat dijalankan di setiap perbatasan di negeri ini termasuk menubuhkan 31 Briged Infantri Sempadan dan setakat ini, tiada kes melibatkan pemerdagangan manusia berlaku di sempadan Sarawak.

Malah, beliau memberitahu sebanyak lima rejimen di bawah 31 Briged Infantri Sempadan diwujud bagi meningkatkan tahap kawalan dan keselamatan perbatasan di negeri ini yang kini sesi pengambilannya sedang dibuka.

“Walaupun kita masih dikatakan ‘baru setahun jagung’ tetapi pelbagai pencapaian yang telah kita kecapi bersama sehingga Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat ini menjadi contoh kepada yang lain.

“Justeru, saya berharap anda semua meneruskan usaha ini bagi memastikan setiap perbatasan di Medan Timur iaitu melibatkan kawasan 2,000 kilometer darat dan 1,200 kilometer perbatasan persisir pantai Sabah dan Sarawak terus dipelihara daripada sebarang aktiviti pemerdagangan manusia dan penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Kedua di Padang Kawad, Kompleks Kem Muara Tuang Kota Samarahan di sini semalam.

Pada masa sama, Zaki memberitahu, pihaknya juga merancang untuk mewujudkan lebih banyak Pos Kawalan Bersama di sempadan negeri ini.

“Ini kerana Pos Kawalan Bersama yang dilaksanakan bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) di setiap sempadan di negeri ini banyak membantu kita memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, TDM sedang merangka pelan baharu sebagai kesinambungan kepada ‘Army For Next Generation’ atau Army 4nextG.

“Sehubungan itu, marilah kita sama-sama berusaha dan bekerjasama dalam memastikan Pemerintahan Medan Timur terus teguh dan siaga demi memelihara kedaulatan negara khususnya di Sabah dan Sarawak ini,” ujarnya.

Pada perbarisan yang disertai 135 pegawai dan 1,200 anggota diketuai Panglima 31 Briged Infantri Sempadan Brigedier Jeneral Jamaluddin Jambi itu, Zaki turut menyampaikan Sijil Kecemerlangan Panglima Medan Timur kepada tujuh pegawai dan anggota serta seorang kakitangan awam.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi media yang banyak membantu membuat liputan khususnya berita berkaitan Program Jiwa Murni.

Hadir sama, Panglima Angkatan Petugas 450 Mejar Jeneral Datuk Zulkapribin Rahamat dan tetamu kehormat lain. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda