Serian dapat Kompleks Pejabat Kerajaan baharu dan bandar baharu

SERIAN: Serian, yang dinaik taraf sebagai bahagian ke-12 di Sarawak dua tahun lepas, akan mempunyai kompleks pejabat kerajaan, sebuah pusat persidangan dan sebuah bandar yang baharu.

Pelancaran projek berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di sini hari ini.

Menurut Adenan, pembinaan Kompleks Pejabat Kerajaan Serian dan Pusat Persidangan Serian itu menelan kos kira-kira RM200 juta akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun.

Katanya, projek Bandar Baharu Serian pula akan membabitkan pembinaan 240 unit kedai dan 500 unit rumah kediaman.

“Memandangkan Serian sudah dinaik taraf menjadi sebuah bahagian maka wajarlah ia mempunyai kompleks pejabat yang baharu dan kemudahan lain, ” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran projek berkenaan.

Terdahulu di dalam ucapannya, Adenan berkata keputusan menaikkan taraf daerah Serian kepada sebuah bahagian pada tahun lepas adalah untuk membolehkan pihak berkuasa pentadbir bahagian ini mempunyai peruntukannya sendiri untuk memesatkan lagi pembangunan di bahagian itu.

Katanya, ia adalah hadiah buat masyarakat Bidayuh yang merupakan penduduk majoriti di bahagian Serian.

Bagi membolehkan suara masyarakat Bidayuh lebih lantang di Dewan Undangan Negeri, katanya kaum itu diperuntukkan dua kerusi tambahan dalam Dewan Undangan Negeri, menjadikan lapan kerusi kesemuanya.

“Untuk masyarakat Cina pula kerajaan negeri mempunyai dasar menerima mereka sebagai penduduk negeri ini dan bukan menggelarkan mereka sebagai pendatang.

“Orang Cina sudah berada di negeri ini beratus tahun lamanya. Mereka dilahir, dibesar dan meninggal dunia di negeri ini … mana boleh kita menggelarkan mereka sebagai pendatang,” tegasnya.

Adenan juga mengulangi ikrar beliau untuk terus menuntut kenaikan royalti minyak daripada kerajaan pusat kepada 20 peratus.

“Lima peratus yang dibayar kepada Sarawak ketika ini terlalu sedikit dan oleh sebab itu saya meminta supaya rakyat Sarawak memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional pada pilihan raya negeri akan datang.

“Saya memerlukan mandat yang besar untuk bersuara lebih lantang kepada kerajaan pusat,” katanya.

Turut berucap pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin yang menyatakan Serian dijangka muncul sebuah bandar yang maju di masa hadapan berikutan pelbagai pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan di bahagian berkenaan. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda