Semua ahli UPP Samarahan digesa sokong calon BN Muara Tuang

SAMARAHAN: Ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) Samarahan digesa untuk berdiri teguh bersama Barisan Nasional (BN) dengan menyokong penuh calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) nanti.

Perkara itu ditegaskan oleh Penasihat UPP Dr Chou Chii Ming ketika berucap pada Majlis Pelancaran Maskot UPP Samarahan di pekarangan tempat letak kereta berhadapan pejabat UPP Samarahan di sini, semalam.

Beliau berkata sokongan padu terhadap calon yang dipilih di kerusi itu penting bagi memastikan DUN Muara Tuang terus menjadi kubu kuat BN sekali gus memberi mandat besar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya berharap kamu semua memberi sokongan penuh kepada calon BN bagi kerusi DUN Muara Tuang kerana Ketua Menteri telah banyak membawa perubahan dan dasar untuk rakyat Sarawak,” katanya.

Pada masa sama Dr Chou berkata, Ketua Menteri juga telah melahirkan keyakinan untuk memenangi 70 kerusi DUN daripada 82 kerusi yang ada.

Dengan sokongan padu daripada masyarakat Cina beliau yakin pasukan Ketua Menteri dapat menambah jumlah kerusi yang dimenangi pada PRN11 nanti.

“Kita berharap semua masyarakat Cina memberi sokongan padu kepada BN negeri di bawah kepimpinan Adenan. Mari kita jadikan jumlah kerusi dimenangi kepada 72 kerusi DUN untuk BN,” ujarnya. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda