Sasar 10 ribu pengunjung Festival Menuai Sedunia 2016

KUCHING: Lebih 10 ribu pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka hadir ke Festival Menuai Sedunia 2016 (WHF 2016) yang bakal berlangsung pada April depan, berbanding 7 ribu pengunjung pada 2015.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, jangkaan ini dibuat berdasarkan kehadiran pelancong dari Hong Kong yang bakal berkunjung ke Sarawak apabila penerbangan Hong Kong – Kuching secara dua hala akan beroperasi pada 26 April depan dengan penerbangan dua kali seminggu.

“Justeru, terdapat kemungkinan pelancong dari Hong Kong akan berkunjung ke sini (Sarawak) semata-mata ingin menyaksikan WHF 2016, malah kita juga masih mempunyai masa untuk membuat promosi mengenai WHF 2016 dan negeri Sarawak kepada mereka di sana (Hong Kong),” katanya.

WHF bakal menampilkan pelbagai acara utama dan sampingan seperti pertandingan ratu cantik, pementasan teater lagenda, Ironman WHF 2016 dan pelbagai aktiviti lain sekali gus membawa kelainan dan keistimewaan tersendiri.

Dijadualkan diadakan selama tiga hari bermula 29 April hingga 1 Mei, WHF 2016 akan diadakan di lokasi sama iaitu di Kampung Budaya Sarawak, Santubong, dekat sini.

Datuk Amar Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata demikian pada sidang media mengenai penganjuran WHF 2016 di Tingkat 2, Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam. Tadir sama ialah Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Pengarah Tourism Malaysia Sarawak Hairi Mohd Yakzan, Timbalan Pengurus Besar SEDC Edwin Abit dan Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang.

WHF 2016 diadakan bertujuan menggabungkan kumpulan etnik pelbagai di negeri ini sekali gus meningkatkan pemahaman mengenai negeri ini oleh pengunjung dari dalam mahupun luar negeri.

Tiket ke WHF 2016 kini dibuka untuk pembelian iaitu di Kampung Budaya Sarawak, Santubong.

Untuk maklumat lanjut mengenai WHF 2016 atau tiket kemasukan, sila hubungi Grace atau Arnida di talian 082-826108/411 atau faks ke 082-846988 atau e-mel ke www.whf.com.my atau laman sesawang di www.whf.com.my atau layari Facebook World Harvest Festival. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda