Sarawak ‘pecat’ Rajagobal

KUCHING : Bekas jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal menjadi jurulatih ketiga dari pasukan Liga Super yang ‘dipecat’ setelah Sarawak mempamerkan prestasi buruk yang menyaksikan mereka menghuni tempat tercorot ketika ini.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam kenyataannya memaklumkan Rajagobal akan diberi tugas lain dan tempatnya akan digantikan oleh penolongnya David Usop.

“Pihak pengurusan FAS telah mengambil keputusan untuk membuat rombakan dalam barisan kejurulatihan pasukan Sarawak.

“Adalah diharapkan, sebelum perlawanan menentang Perak di Kuching pada 18 Mei dan 21 Mei di Ipoh, Usop mempunyai masa secukupnya untuk mempersiapkan mereka,” kata FAS dalam kenyataan itu.

Usop, yang juga pernah menjadi penolong kepada bekas ketua jurulatih Robert Alberts selama beberapa musim, memainkan peranan penting dalam menyelamatkan pasukan itu daripada jatuh ke Liga Perdana selepas kontrak Alberts ditamatkan pada musim lepas.

Selepas menghabiskan 10 perlawanan, Sarawak hanya mencatat satu kemenangan, kalah enam kali serta seri tiga kali dan menduduki tempat tercorot dalam Liga Super. – Utusan Malaysia

Tinggalkan komen anda