Liga Super : Sarawak FA catat kemenangan sulung

GEORGETOWN : Sarawak FA mencatatkan kemenangan pertama Liga Super musim ini apabila berjaya membenamkan pasukan tuan rumah, Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, dekat sini semalam.

Matias Cordoba di minit ke 27 berjaya menyudahkan penalti dan membawa Pulau Pinang di hadapan 1-0 pada separuh masa pertama, namun serangan yang bertubi-tubi Sarawak FA membuahkan hasil apabila Gilmar Jose da Silva berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-58. J.Partiban menjadi wira Sarawak FA apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pasukan di masa tambahan.

Dengan kemenangan sulung mereka meletakkan Sarawak FA di tempat kesepuluh selepas enam perlawanan.

Di JOHOR BAHRU, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berhempas pulas untuk menang di laman sendiri selepas gol pembukaan oleh Elias Fernandes Oliviera di minit ke-17 meletakkan Perak di hadapan di separuh masa pertama. Kedudukan Perak yang mendahului perlawanan tidak bertahan lama apabila Juan Martin Lucero berjaya menjaringkan 2 gol dengan menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-47 dan jaringan 5 minit kemudian.

Di SHAH ALAM, kelebihan bermain di halaman sendiri tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan Selangor FA apabila hanya sekadar seri 2-2 ke atas Kedah. Kedah memulakan aksi dengan Syazwan Zainon menjaringkan gol dalam kawasan penalti seawal minit ke-7, namun R Gopinathan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-30 dan Patrick Ronaldinho Wleh seminit kemudian.

Namun, Selangor FA terpaksa berpuas hati dengan kedudukan seri apabila sepakan penalti Sandro berjaya disudahkan di minit ke-67. Pertukaran 3 pemain Selangor FA di minit ke-70 juga tidak berjaya menghasilkan sebarang gol.

JDT kembali ke takhta liga dengan 16 mata, Felda United (15 mata) dan Selangor (11 mata). – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda