Samarahan kekal milik BN

SAMARAHAN : Barisan Nasional melalui Parti Bumiputera Bersatu (PBB) mengekalkan dominasi di Dewan Undangan Negeri N15 Asajaya, N16 Muara Tuang, N24 Sadong Jaya, N25 Simunjan, dan N27 Sebuyau pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11.

Pertarungan satu lawan satu di DUN N15 Asajaya menyaksikan penyandang, Datuk Abd Karim Rahman Hamzah menang dengan undi 6,163, menewaskan Abang Junaidi Abang Gom dari PKR dengan undi 2,085.

Melalui DUN N16 Muara Tuang, Datuk Idris Buang menang dengan undi 10,086, menewaskan dua calon lain iaitu Zulkipli Ramzi (PAS) dengan 1,508 undi dan Abang Abdul Halil Naili (PAN) dengan 765 undi. Kedua-dua calon yang tewas hilang deposit.

Di DUN N24 Sadong Jaya pula, calon penyandang Aidel Lariwoo menang 3,925 undi, menewaskan Asan Singkro (PAS) dengan 458 undi, Awang Rabiee Awang Hosen (BEBAS) dengan 234 undi, dan Othman Mustapha @ Mos (PAN) dengan 157. Tiga calon tersebut juga hilang deposit.

Menerusi DUN N25 Simunjan, Awla Dris memenangi 4,101 undi, menewaskan Jamilah Baharuddin dari PKR dengan 1,389 undi dan Hipni Kanaini (Bebas) dengan 275 undi.

DUN N27 Sebuyau, penyandang Datuk Julaihi Narawi menang dengan 4,531 undi, menewaskan Wan Abdillah Wan Ahmad (PAS) dengan 1,789 undi, manakala Andrew Jain (PAN) dengan 164 undi. Calon PAN tersebut hilang deposit.

Kawasan baharu DUN N17 Stakan dan N26 Gedong juga didominasi oleh wakil Barisan Nasional.

DUN N17 Stakan menyaksikan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud yang sebelum ini menjadi penyandang di DUN N16 Muara Tuang menang dengan undi 8,820, menewaskan wakil DAP, Leslie Ting Xiang Zhi dengan 1,778 undi.

DUN N26 Gedong pula menyaksikan Datuk Mohd Naroden Majais menang dengan 4,064 undi, menewaskan Rapelson Richard Hamit (PAN) dengan 699 undi, dan Uja Bansi (Bebas) dengan 396 undi.

Mengikut rekod, kesemua 40 calon PBB yang bertanding pada Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 menang pada pilihanraya kali ini.

Keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak ke-11 boleh disemak di sini. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda