Sagu berpotensi terus dibangunkan dalam industri lebih besar

SAMARAHAN: Produk tempatan Sarawak, sagu berpotensi terus dibangunkan dalam industri lebih besar sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman yakin potensi tumbuhan itu dapat terus dibangunkan menerusi usaha sama dengan MyInnoHub.

“Dengan kerjasama MyInnoHub, kami berharap memilih rakan kongsi yang sesuai untuk membangunkan lagi sagu ke dalam industri besar.

“Potensi sagu amat besar dan kita memerlukan MyInnoHub untuk mencipta, membangun dan memastikan industri itu menjadi salah satu penyumbang kepada kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MyInnoHub di Rumah Universiti, UNIMAS di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyInnoHub Vincent Wong Wai Sang, CEO Regal International Group dan Dekan Fakulti Sains Sumber dan Teknologi Profesor Madya Dr Othman Bojo.

Fadzil berkata, sagu merupakan satu bidang penyelidikan utama dan terkuat di institusi pengajian itu lebih-lebih lagi apabila ia merupakan tumbuhan mantap berkembang tanpa masalah dan sesuai dengan iklim khatulistiwa dan tanah di negeri ini.

Menurut beliau, penyelidikan sagu telah dimulakan dari awal penubuhan universiti itu dan UNIMAS telah mengenal pasti sagu sebagai produk tempatan di Sarawak yang boleh menjadi sumber makanan pada masa akan datang.

Kajian itu katanya, disokong oleh penyelidik daripada pelbagai fakulti di UNIMAS yang melihat ke dalam bidang penyelidikan berbeza daripada proses huluan dan hiliran, yang pasti akan meningkatkan taraf hidup penanam sagu serta kepentingan industri sagu di Sarawak.

Katanya UNIMAS juga telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Sagu (CoSAR) untuk menjadi pusat kecemerlangan dan titik rujuk serantau bagi penyelidikan sagu terkemuka, sambil menambah, universiti itu setakat ini mempunyai lebih 30 penyelidik yang menumpukan perhatian kepada sagu sahaja.

MyInnoHub mula menunjukkan minat dalam projek berkaitan sagu susulan pembentangan awal oleh penyelidik UNIMAS pada 29 Februari lalu sebelum UNIMAS dipelawa untuk menghadiri mesyuarat lanjut dan pembentangan di My Innovation Hub di Kuala Lumpur.

Dalam perbincangan itu, mereka menunjukkan minat dalam dua projek berkaitan sagu dan dua produk inovatif lain dibangunkan oleh penyelidik UNIMAS.

Projek-projek itu termasuk penukaran gula daripada kanji sagu, pembangunan penuaian mekanikal pokok sagu, teknologi pembinaan jalan dan kaedah inovatif pengajaran bahasa Inggeris, ditambah dua produk CoSAR tambahan mengenai penukaran sisa sagu ke dalam perabot dan alat membersih tumpahan minyak.

Berdasarkan perbincangan itu, MyInnoHub berminat mengkomersilkan produk-produk itu dan merancang menjalin usaha sama bagi tujuan tersebut.

MyInnoHub merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan ekosistem inovasi bagi menghubungkan ahli akademik dengan kerajaan, sektor swasta dan komuniti seperti dalam Rangka Tindakan Pendidikan Pengajian Tinggi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada April 2015. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda