Projek LPB berjalan lancar

SERIAN – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak yang berjalan lancar dan kini memasuki fasa ketiga membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya menepati satu lagi janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu membina 2,300 kilometer lebuh raya bermula dari Sematan di Sarawak hingga ke Serudong, Sabah.

Menurut Perdana Menteri, perasmian fasa ketiga pembinaan LPB Sarawak hari ini melibatkan jajaran dari bulatan Serian ke persimpangan Pantu, Sri Aman sejauh 75 kilometer dengan kos RM1.46 bilion iaitu yang terpanjang berbanding fasa lain, adalah bukti janji tersebut ditepati.

Selain itu, katanya, kesungguhan BN menunaikan janji dalam manifesto tersebut juga boleh dilihat apabila sebanyak 75 syarikat perunding tempatan yang majoritinya bumiputera dipilih terlibat dalam projek pembinaan lebuh raya itu sejak tahun lalu.

“Pada April 2013, saya telah membuat ikrar bahawa kalau BN diberi mandat dalam PRU-13, salah satu janji utama adalah melaksanakan pembinaan LPB dari Sarawak hingga ke Sabah.

“Perasmian pakej ketiga LPB Sarawak dari bulatan Serian ke persimpangan Pantu hari ini bermakna apa yang dijanjikan kepada rakyat Sarawak tidak dimungkiri, BN telah menepati janji kepada rakyat Sarawak,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan majlis permulaan kerja projek berkenaan di Jalan Tangga By-Pass di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Pakej ketiga itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong kepada empat lorong termasuk pembinaan tiga persimpangan bertingkat iaitu di Serian dan Simunjan, 10 jambatan, sebuah kawasan hentian rehat di Balai Ringin, 84 hentian bas, lapan jejantas dan 39 pusingan U yang dijangka siap dalam tempoh 51 bulan atau suku kedua 2020.

Menurut Najib, kos pembinaan LPB Sarawak berjumlah RM16 bilion memang besar, apatah lagi ketika kerajaan berdepan dengan masalah kemerosotan ekonomi disebabkan harga minyak dan komoditi merudum.

Walau bagaimanapun menurutnya, kerajaan Persekutuan tetap meneruskan projek tersebut dan berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan dana bagi membiayai pembinaannya.

“Paling istimewa, LPB tidak mengenakan tol. Apabila siap akan membawa pembangunan, meningkatkan ekonomi dan pendapatan kepada rakyat negeri ini.

“Memang kos RM16 bilion nampak tinggi tetapi jika dilihat dari segi ekonomi jika RM16 bilion didarabkan dengan lapan kali keuntungan yang diperoleh selepas selesai pembinaannya, lihatlah berapa kali ganda faedah dinikmati oleh ekonomi Sarawak,” ujarnya.

Najib berkata, LPB juga merupakan pemangkin yang bakal membawa perubahan sangat besar kepada landskap pembangunan negeri ini di samping dapat mengeratkan perpaduan penduduk ekoran mudah berhubung selepas adanya sistem perhubungan darat yang selesa.

Katanya, jika mahu melihat Sarawak maju dan erat perpaduannya, negeri ini mesti mempunyai jalan perhubungan yang lebih baik, bukan hanya bergantung kepada perhubungan telekomunikasi seperti telefon dan maklumat di internet.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kira-kira 15,000 tetamu yang hadir pada majlis perasmian itu yang majoritinya berketurunan Bidayuh agar menyokong pasukan pimpinan Adenan semasa pilihan raya negeri akan datang memandangkan Serian yang baru diisytiharkan sebagai bahagian ke-15 di Sarawak mempunyai penduduk paling ramai dalam kalangan komuniti itu.

“Saya sebagai Perdana Menteri ingin memaklumkan kepada tuan-tuan dan puan-puan bahawa komitmen untuk membangunkan Sarawak akan diteruskan, tetapi usaha ini perlukan kesinambungan kerajaan sekarang. – Utusan Malaysia

Tinggalkan komen anda