Polis pantau kumpulan Millah Abraham

KUCHING: Polis sedang memantau pergerakan kumpulan Millah Abraham iaitu sebuah kumpulan dipercayai menyebar ajaran sesat yang kini dipercayai berada di Simunjan.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, terdapat laporan mengatakan kumpulan itu sedang mengusahakan sebidang tanah di daerah kecil tersebut.

Bagaimanapun, Sabtu memberitahu, ia masih dalam siasatan dan polis akan terus memantau pergerakan kumpulan terbabit.

“Kita masih memantau pergerakan kumpulan ini yang kini dikatakan sedang mengusaha sebidang tanah serta menyewa rumah di Simunjan.

“Setakat ini, kita tidak mengetahui jumlah mereka tetapi terdapat aktiviti menunjukkan mereka sedang mengusahakan tanah tersebut.

“Cuma kita tidak pasti sama ada ia kumpulan terbabit atau bukan. Pemantauan akan terus dilakukan,” katanya selepas sambutan Peringatan Hari Polis Ke-209 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Beliau berkata, sekiranya terdapat perkara di luar batasan maka polis akan mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.

Sementara itu, Sabtu turut memberitahu pihaknya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Anggota kita dipersiap dengan latihan serta pendedahan kepada undang-undang. Kini kita hanya menunggu pengumuman pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja.

“Selain itu, anggota kita juga adalah mencukupi namun jika ada perubahan, kita akan memohon bantuan penambahan anggota Sabah serta Semenanjung Malaysia,” jelas Sabtu lagi.

Sabtu pada majlis tersebut turut membaca perutusan daripada Ketua Polis Negara yang banyak menyentuh mengenai pentingnya integriti di kalangan anggota polis.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai yang juga merupakan bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohammad. – The Borneo Post

Tinggalkan komen anda