Pi1M Kampung Pinang anjur Hari Bersama Komuniti

SAMARAHAN: Pusat Internet 1Malaysia (Pi1M) Kampung Pinang menganjurkan Hari Bersama Komuniti 2016 selama dua hari dengan pelbagai kegiatan melibatkan penduduk kampung berkenaan. Kenyataan media Pi1M Kampung Pinang menyatakan, kegiatan yang dianjurkan pada hari pertama adalah pertandingan menaip (kategori terbuka kepada semua) dan Pertandingan Mewarna Digital KDB (kategori kanak-kanak sekolah rendah).

Manakala, aktiviti hari kedua adalah Ceramah Pengenalan Aplikasi Pi1M Dashboard, Advokasi Jelajah Mini KDB Sarawak, Promosi ‘KDB Funniest Video 15 seconds’, pertandingan menganyam ketupat, pertandingan melontar bulu tangkis, pertandingan kerusi muzikal, cabutan bertuah dan sebagainya. Pada sebelah petang diadakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada pemenang oleh wakil Pegawai Daerah Samarahan, Mohd Hadi Datuk Bolhen.

Turut hadir Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pinang Kamisah Keram dan Penghulu Kampung Pinang Semawi Sulong. Lebih 100 pengunjung menyertai program berkenaan yang bertujuan mendedahkan masyarakat tentang Pi1M dan perkhidmatan yang disediakan dengan mengadakan beberapa aktiviti berkaitan ICT bagi menggalakkan komuniti setempat mengguna PI1M sebagai pusat pendidikan, sosial dan ekonomi.

Pi1M Dashboard adalan pengisian baharu yang juga diperkenalkan pada program tersebut iaitu aplikasi khas yang dibina untuk kegunaan komuniti setempat di sekitar Pi1M. Ia mengambil kira keperluan komuniti setempat dari segi perhubungan, pembelajaran, perniagaan, kesihatan dan juga pentadbiran. Penggunaan aplikasi ini diharapkan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi setempat dan secara tidak langsung dapat merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dengan luar bandar.

Promosi ‘KDB Funniest Video 15 Seconds’, adalah promosi mengenai pertandingan mencipta video pendek yang dianjurkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM). Pertandingan video pendek 15 saat ini bertemakan “Penggunaan Internet Secara Positif” bermula 15 Mac lalu dan akan ditutup penyertaan pada 15 Mei depan. Ia menggunakan Facebook sebagai platform pertandingan. Untuk keterangan lanjut, orang ramai dijemput berkunjung ke mana-mana Pi1M (kendalian TM) yang berdekatan. – Utusan Sarawak

Tinggalkan komen anda