Pemberian BR1M tanda keprihatinan kerajaan BN

ASAJAYA: Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disaat Sarawak menghampiri pilihanraya negeri tidak seharusnya dilihat sebagai satu umpan politik oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia hanya suatu kebetulan sahaja memandangkan Kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberi BR1M setiap tahun tanpa mengira sama ada pilihanraya akan diadakan ataupun tidak.

Beliau selanjutnya berkata komitmen Kerajaan Barisan Nasional dalam usaha membantu mengurangkan beban kewangan rakyat tidak dapat dipertikaikan kerana walaupun keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, Kerajaan Barisan Nasional tetap meneruskan pemberian BR1M.

Abdul Karim, yang merupakan wakil rakyat DUN Asajaya, berkata sedemikian ketika berucap di Majlis Penyerahan BR1M Daerah Asajaya Tahun 2016 yang diadakan di Komplek Sukan Asajaya pagi tadi.

Beliau menambah tidak banyak negara di dunia yang menghulur bantuan seperti BR1M kepada rakyat.

Beliau juga menegaskan pemberian BR1M diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira sama ada penyokong Kerajaan Barisan Nasional ataupun pembangkang,

Beliau kemudiannya menasihati penerima BR1M agar menggunakan wang tersebut sebaik-baiknya.

Abdul Karim juga menyeru masyarakat Asajaya agar tidak emosional dan berfikiran waras ketika memilih wakil rakyat mereka dalam pilihanraya negeri yang akan datang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi, Pegawai Daerah Asajaya Habari Bakar dan Temenggong Chik Bujang. – Blog YB Karim

Tinggalkan komen anda