Pelajar universiti digalak laksanakan program babit masyarakat setempat

SAMARAHAN: Kerajaan sentiasa menggalakkan pelajar universiti melaksanakan program bukan sahaja peringkat universiti malah peringkat akar umbi melibatkan masyarakat setempat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini bagi membantu memberi pengalaman kepada pelajar-pelajar mengenai situasi sebenar sebelum mereka keluar universiti (bekerja).

“Dengan melibatkan diri bersama masyarakat dapat memberi peluang kepada pelajar-pelajar memahami keadaan dan memberi khidmat kepada masyarakat.

“Ini adalah peluang dan apabila sebagai graduan mereka dilengkapi dengan kemahiran insaniah melibatkan diri dengan masyarakat,” katanya melancarkan program ‘G-Experience 2.0’ anjuran Kelab Kebajikan Kolej Cempaka (PEKA) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini malam kelmarin.

Fadillah berkata, untuk menjadi sebuah negara maju belia atau generasi muda harus bersedia bersaing bukan sahaja dari sektor perniagaan tetapi universiti.

Menurutnya, ekonomi tidak bergantung hanya kepada modal kewangan tetapi ekonomi sosial terutamanya era masa kini.

“Justeru itu, saya percaya program G-Experience melibatkan pelajar-pelajar tingkatan enam yang mana mereka dibawa masuk ke universiti untuk mengalami keadaan di UNIMAS ini adalah satu langkah wajar.

“Ini bukan sahaja pengalaman hidup di kampus tetapi memberi semangat kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat univeriti sekali gus melahirkan lebih ramai graduan UNIMAS,” katanya.

Sementara itu, mengenai peruntukan sebagai Menteri Mentor UNIMAS setiap tahun beliau memperuntukkan RM50,000 kepada hal ehwal pelajar UNIMAS menganjurkan aktiviti persatuan atau kelab pelajar di universiti tersebut.

Justeru itu, beliau menyarankan kepada kelab atau persatuan pelajar merebut peluang dengan menggunakan peruntukan tersebut menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada mereka.

“Ini termasuk Kelab Kebajikan Kolej Cempaka yang boleh memohon peruntukan kepada hal ehwal pelajar universiti itu kerana saya yakin program yang anda anjurkan ini adalah baik,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pemajuan Pelajar UNIMAS Profesor Madya Dr Siti Raudzah Ghazali dalam ucapannya berkata pihak universiti amat menggalakkan aktiviti pelajarnya sama ada dalam bentuk akademik atau bukan akademik.

“Ini termasuk program berbentuk kebajikan seperti yang dianjurkan kelab ini dan kita amat mengalu-alukan program sedemikian,” katanya.

‘G-Experience 2.0’ melibatkan pelajar empat buah sekolah menengah dengan 58 peserta terdiri sekolah SMK Batu Lintang, SMK Sejingkat, SMK Tun Abang Haji Openg dan SMK Kota Samarahan.

Diadakan pada 17 hingga 19 Mac di sekitar UNIMAS, Kampung Segedup, Batu Kawa berobjektif memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar mempunyai aliran berbeza mengenai program peringkat ijazah yang ditawarkan di UNIMAS.

Selain itu, mewujudkan kesedaran serta tanggungjawab kalangan peserta peka terhadap alam sekitar dan memupuk minat mereka memilih UNIMAS selepas tamat sekolah. – The Borneo Post

Tinggalkan komen anda