Pelajar UNIMAS juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2016

PUTRAJAYA : Kepetahan Abdalla Gharib, pelajar Ijazah Sarjana dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam menyampaikan pidato bertajuk “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” pada Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016 berjaya menambat hati juri seterusnya berjaya merangkul gelaran johan bagi kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia pada pertandingan yang diadakan pada malam ini.

Abdalla membawa pulang wang tunai RM20 ribu beserta trofi. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Tempat kedua bagi kategori yang sama dimenangi oleh Nasear Slayman daripada negara Kemboja, dengan tajuk pidato “Ilmu Teras Pembangunan Bangsa dan Ekonomi Negara” dan tempat ketiga dimenangi oleh Anas Mohamad Husian Kassim (Iraq) dengan tajuk pidato “Keamanan Dunia.”

Bagi kategori Alam Melayu, juara disandang oleh Muhammad Haziq Jamaluddin dari Malaysia dengan tajuk pidato “Rahsia Keamanan”, tempat kedua dimenangi oleh Irfan Mohamad Fairus (Malaysia) dengan tajuk pidato “Peranan Mahasiswa Mendepani Cabaran Dunia Baharu”, manakala Muhammad Sa’ame (Thailand) di tempat ketiga dengan membawa tajuk pidato “Perkasa Bahasa Melayu Bermulanya Di Mana?”

Bagi kategori Antarabangsa, Hatsune Yana dari negara Jepun berjaya meraih gelaran juara dengan tajuk pidato “Antara Langit dan Bumi”, Wang Jialu (China) di tempat kedua dengan tajuk pidato “Keamanan Dunia Tanggungjawab Kita” dan Megan Rose Donelly dari Amerika Syarikat meraih tempat ketiga dengan tajuk pidato “Ilmu Kemanusiaan Yang Seimbang Kunci Kebahagiaan Manusia”.

Datuk Seri Najib dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan akan terus diperkasakan, di samping kerajaan akan terus mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi. Datuk Seri Najib juga mengambil contoh negara Korea Selatan yang menggunakan bahasa kebangsaan dan budaya mereka ke dalam medium media massa.

Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, juga turut disiarkan secara langsung di TV2. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda