PDRM Siap Sedia Hadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak – KPN

JOHOR BAHRU – Polis sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak demi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar dan selamat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, persiapan yang dilakukan merangkumi penambahan bilangan anggota yang ditugaskan dan logistik yang diperlukan semasa pilihan raya nanti.

“Dari segi perancangan termasuk bajet, semua sudah siap. Pihak kami kini hanya menunggu pengumuman tarikh pembubaran, tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi,” kata beliau.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Pegawai-pegawai Kanan Diwartakan (PPKP/Cawangan Pegawai, PPKP/Cawangan Inspektor dan Pegawai-pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) kali ke-88 2015/2016, di Kulai, dekat sini hari ini.

Menurut Khalid, pihaknya memerlukan keanggotaan yang ramai dan logistik yang mencukupi kerana keadaan Sarawak yang unik seperti kawasan mengundi yang berterabur contohnya di rumah panjang.

Beliau berkata helikopter juga akan digunakan memandangkan beberapa kawasan di negeri itu tidak dapat dihubungkan melalui jalan darat.

“Semua aspek diambil kira untuk memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar,” kata beliau. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda