PAS umum calon PRN Sarawak

BINTULU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah mengumumkan calon-calon yang akan bertanding di 11 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak Kali Ke-11 pada Rabu lalu di Hotel Kemena dekat sini.

Pengisytiharan yang dibuat oleh Yang Berhormat (YB) Tuan Guru Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang menyaksikan PAS menawarkan calon-calon yang berkaliber dan berdaya saing terdiri daripada anak tempatan dan pelbagai latarbelakang.

Calon-calon PAS pada PRN Sarawak, menurut Presiden PAS adalah terdiri daripada gabungan profesional, aktivis dan agamawan serta campuran tokoh berpengalaman dan anak muda. PAS juga turut menampilkan seorang calon wanita dan seorang calon bukan Islam berbangsa Iban dalam Pilihanraya Negeri kali ini. Pesuruhjaya PAS Sarawak, Tuan Haji Jofri Jaraiee mendahului senarai tersebut dengan diamanahkan bertanding di kerusi DUN N74 Pujut.

Calon-calon PAS lain yang tersenarai bertanding pada PRN Sarawak ke-11 adalah Mohammad Arifiriazul Paijo bagi kerusi DUN N72 Lambir, Engr. Zharudin Narudin (DUN N70 Samalaju), Haji Kiprawi Aman (DUN N67 Jepak), Clement Bayang (DUN N60 Kakus), Hamidah Mokhtar (DUN N29 Beting Maro), Haji Wan Abdillah Wan Ahmad (DUN N27 Sebuyau), Asan Singkro (DUN N24 Sadong Jaya), Zulkipli Ramzi (N16 Muara Tuang), Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi (DUN N7 Samariang) dan Zainal Abidin Yet (DUN N4 Pantai Damai).

PAS mengetengahkan manifesto ‘Sejahtera PAS Untukmu Sarawak’, dengan penekanan hak anak tempatan, komitmen mempertahankan hak kaum, agama dan budaya, tuntutan royalti 20 peratus minyak dan gas, kemudahan kepada rakyat yang lebih baik, serta sedia mendengar aduan dan masalah rakyat Sarawak.

Turut hadir dalam Majlis Pengisytiharan Calon PAS Sarawak tersebut termasuklah Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden), YB Ustaz Idris Ahmad (Naib Presiden), YB Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah (Naib Presiden), YB Dato’ Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung), Dato’ Mustafa Ali (Ketua Pengarah Pilihanraya), Sdr Mukhtar Suhaili (AJK PAS Pusat dan Setiausaha PAS Sarawak), pimpinan PAS Pusat, pimpinan PAS Sarawak dan ahli serta penyokong PAS. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda