Miri bangkit bergelar juara

SAMARAHAN: Miri bangkit daripada kekalahan tahun lalu apabila menewaskan Kuching sekali gus merangkul kejuaraan Kejohanan Padang dan Balapan Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSSS) ke-44 yang berakhir di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kelmarin.

Kontinjen dari bandar raya pengeluar minyak dibarisi seramai 119 atlet merangkul 32 pingat emas, 33 perak dan 29 gangsa untuk mengumpul 463 mata.

Kejohanan kali ini disertai seramai 860 atlet dari 12 bahagian negeri ini.

Miri muncul juara dalam empat kategori iaitu lelaki dan wanita bawah 14 dan 15 tahun, naib juara kategori wanita bawah 12 tahun dan lelaki bawah 18 tahun dan tempat ketiga kategori wanita bawah 18 tahun.

Pengurus Pasukan Miri, Koh Chee Kiat berkata barisan atletnya telah mengotakan janji dan kepercayaan diberikan oleh Menteri Muda Sukan, Datuk Lee Kim Shin membawa pulang kejayaan kali ini.

“Salah satu faktor kejayaan Miri adalah sokongan moral dan kewangan berjumlah RM30,000 sumbangan Lee yang membantu mengurangkan beban kontinjen menyertai kejohanan ini,” katanya di sini semalam.

Pengetua SMK Pujut itu turut menjelaskan kerjasama utuh, komitmen padu jurulatih dan pegawai termasuk semangat juang tinggi kalangan atlet turut menyumbang kejayaan Miri.

Beliau juga gembira selepas dimaklumkan seramai 90 atlet dengan 26 dari Miri terpilih mewakili Sarawak pada Kejohanan Padang dan Balapan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang akan berlangsung di Terengganu dari 3 hingga 7 Mei depan.

Sementara itu, lima rekod baharu dicatat pada hari terakhir kejohanan tersebut Jumaat lalu.

Nick Ezza Sarawa dari Miri mencuri tumpuan dengan memecah rekod selama 19 tahun (1.55 meter) milik Lau Hung Charn dalam acara lompat tinggi wanita bawah 15 tahun dengan merekod 1.58 meter untuk menggondol emas.

Rakan sepasukan, Kish Kong pula meraih emas dalam acara 200 meter lelaki bawah 14 tahun dengan rekod baharu 23.6 saat.

Miri turut cemerlang dalam acara 4×400 meter lari berganti- ganti wanita bawah 14 tahun dengan rekod baharu 4:24.2 saat.

Dua lagi rekod baharu dicipta dalam kategori 4×100 meter lari berganti-ganti wanita bawah 14 tahun oleh atlet Kuching dengan 52.02 saat manakala Dana River Yu memadam rekod lama 26.6 saat milik Kee Siew Lian pada 2007 apabila mencatat 26.4 saat dalam acara 200 meter wanita bawah 15 tahun.

Meskipun Kuching menggondol 33 emas, 20 perak dan 23 gangsa mereka tewas di tangan Miri dengan perbezaan mata selepas hanya mengutip 408.5 mata.

Sarikei di tempat ketiga dengan 281 mata dari 20 emas, 19 perak dan 14 gangsa.

Sibu tempat keempat dengan tujuh emas, 12 perak dan sembilan gangsa (159 mata) manakala Bintulu tempat kelima dengan 10 emas, tujuh perak dan lapan gangsa (147 mata).

Kontinjen menduduki tempat keenam hingga ke 12 ialah Kapit, Samarahan, Limbang, Sri Aman, Betong, Mukah dan pendatang baharu, Serian.

Atlet terbaik bagi kategori lelaki milik Wong Yu Kiong dari Sarikei (Bawah 12 Tahun), Kish Ong (Miri – Bawah 14 Tahun), Mohd Norhazim Ahmad (Kuching – Bawah 15 Tahun), Johnny Ling (Sibu – Bawah 18 Tahun) dan Mohd Affendy Ramli (Pendidikan Khas).

Anugerah atlet terbaik wanita dimenangi Avriliena Vanafe Gindi (Sarikei – Bawah 12 Tahun), Myranda Najja (Kuching – Bawah 14 Tahun), Nurhaziqah Izzati Zana (Miri – Bawah 15 Tahun), Mandy Goh Li (Kuching – Bawah 18 Tahun) dan Nursyawatie Mohamad Zaini (Sibu – Pendidikan Khas).

Ketua Sektor Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Ambrose Jarit merasmikan penutupan kejohanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda