Mangsa kebakaran disahkan maut akibat terhidu asap

KOTA SAMARAHAN: Hasil bedah siasat mayat tiga beranak yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Bandar Baharu Samarahan di sini mengesahkan mangsa kebakaran tersebut maut akibat terhidu asap.

Demikian disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern selepas selesai bedah siasat ketiga-tiga mayat mangsa sekitar jam 4.30 pagi semalam.

“Bedah siasat selesai pada jam 4.30 pagi tadi (semalam) dan kematian ketiga-tiga mangsa adalah disebabkan ‘smoke inhalation’ (terhidu asap).

“Mayat ketiga-tiga mangsa juga telah diserahkan kepada keluarga untuk tindakan seterusnya,” kata Lee dalam satu kenyataan akhbarnya di sini semalam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Saruji Arip, 42, isterinya Syaidatul Farhanah Md Yusof, 29, dan anak mereka, Muhammad Nur Haqinie Muhammad Zaqri Zairy berusia tiga tahun.

Insiden menyayat hati itu hanya disedari apabila abang kepada Saruji yang menerima panggilan telefon daripada pejabat adik iparnya mengatakan dia tidak hadir bekerja serta tidak menjawab telefon.

Abang mangsa bersama polis kemudian pergi ke kediaman sewa mangsa sekitar tengah hari Isnin lepas dan terpaksa membuka pintu utama serta pintu bilik tidur secara paksa kerana ia berkunci dari dalam.

Didapati keadaan di dalam bilik tidur mangsa terbakar dan ketiga-tiga mangsa ditemui rentung di atas katil serta lantai bilik berkenaan.

Difahamkan, kebakaran itu hanya membabitkan bilik tidur mangsa dan tidak merebak ke luar.

Saruji bekerja sebagai pemandu Jabatan Imigresen Kota Samarahan dan berkahwin dengan Syaidatul yang merupakan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara Kota Samarahan yang berasal dari Negeri Sembilan pada Jun 2014. – BorneoPost Online

Tinggalkan komen anda