Majma’ Raya Fes jadi pusat sehenti jualan Aidilfitri

KUCHING: Majma’ Raya Fes yang akan bakal berlangsung 1 Jun hingga 5 Julai ini bakal menjadi pusat sehenti jualan bersempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada Julai hadapan. Wakil pengurusan Kompleks Islam Sarawak, Bolhassan Iskandar Taibi berkata antara daya tarikan yang terdapat dalam festival kali ini adalah bazar fesyen, bazar makanan dan bazar keperluan hari raya di bawah satu bumbung.

“Majma’ Mall juga menyediakan tempat untuk berbuka puasa dan kemudahan solat fardu dan solat Terawih yang selesa, menjadikan festival kali ini amat strategik untuk membeli belah barangan keperluan Hari Raya,” katanya yang ditemui di sidang media dekat sini.

Kompleks Islam Sarawak, yang dikenali dengan Majma’ Mall bakal berubah wajah dengan pelbagai aktiviti dan program yang telah disusun bagi memeriahkan suasana Ramadhan dan Hari Raya, antaranya Pertandingan Memasak, Pertandingan Gema Majma’ Raya, pertunjukan fesyen dan pelbagai lagi.

Dalam sidang media tersebut, Bolhassan berkata, sebanyak 38 gerai termasuk kiosk serta 60 kedai akan menjual barangan raya seperti pakaian orang dewasa dan kanak-kanak, aksesori dan lain-lain menerusi Fesyen Bazaar. Selain itu, 48 ruangan gerai akan menawarkan pelbagai produk jenama tempatan menerusi Raya Bazaar di perkarangan Majma’ Mall.

“Raya Bazaar ini adalah kolaborasi bersama Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak, dan merupakan peniaga kecil dan sederhana yang sebelum ini pernah menjalankan perniagaan di Pasar Lama Satok,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Food Bazaar pula akan diadakan di dalam Dewan Majma’, dengan pakej bufet Ramadan berharga RM48 untuk dewasa dan RM24 untuk kanak-kanak. Dewan Majma’ boleh menempatkan sehingga 700 orang pada satu-satu masa, dan amat bersesuaian untuk berbuka puasa seisi keluarga.

“Bagaimanapun, mereka yang membuat tempahan awal berpeluang mendapat harga istimewa iaitu RM42 (dewasa) dan RM22 (kanak-kanak),” katanya sambil menambah pelbagai hidangan berbeza akan disediakan setiap hari dengan 12 menu hidangan utama. Orang ramai yang berminat untuk berbuka puasa dengan pakej Food Bazaar boleh menghubungi talian 082-507 879 (waktu pejabat) atau 019-8868 007 (Puan Zurina).

Jualan baucar bufet akan mula dijual pada 23 Mei ini di Kompleks Islam Sarawak dan Hawa Katering. Sebarang info lanjut mengenai Majma’ Raya Fes boleh didapati di Facebook Majma’ Raya Fes – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda