Kanak-kanak dilarikan di Kuching, dijumpai semula

KUCHING – Kanak-kanak yang dipercayai dilarikan, Haiqal Hakimi Suhini, 7 sudah ditemukan di Taman Hussein di sini jam 3 petang tadi. Polis Diraja Malaysia Daerah Kuching juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 30-an jam 5 petang bagi membantu siasatan polis, hasil daripada maklumat orang awam yang melihat mangsa dihantar pulang ke rumah ibu mangsa.

Siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek, dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak bagi pemeriksaan kesihatan lanjut.

Sebelum ini, pihak polis mengesahkan menerima laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak yang dipercayai dilarikan berhampiran Bangunan Mara di Plaza Astana dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, bapa kanak-kanak tersebut Suhini Abdullah, 36, membuat laporan di Balai Polis Gita kira-kira pukul 4.35 petang semalam selepas mendapati anaknya yang ditinggalkan di rumah mentuanya hilang dipercayai telah dilarikan.

Wakil keluarga mangsa dalam status di Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu dalam pencarian mangsa. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda