Iktiraf pekerja cemerlang dalam MAGU

SAMARAHAN : Seperti tahun sebelumnya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sekali lagi mengadakan Majlis Anugerah Gemilang (MAGU) yang merupakan majlis yang berprestij bagi meraikan staf atas kecemerlangan dan khidmat bakti mereka di universiti selama ini.

MAGU kali ini menyaksikan pengiktirafan kepada 123 orang staf yang akan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 atas prestasi cemerlang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sepanjang tahun lepas.

Selain itu, 151 orang staf lagi telah diberi Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) 2015, 14 orang menerima sijil penghargaan selepas persaraan dan 73 orang menerima sijil pengiktirafan perkhidmatan 15 tahun.

Pencapaian cemerlang di dalam bidang pengajaran, penyelidikan, pentadbiran serta aspek inovasi turut diberi pengiktirafan kepada individu mahupun secara berkumpulan melalui tiga kategori anugerah yang disediakan dalam majlis yang sama iaitu anugerah sukan, anugerah pengurusan dan anugerah akademik.

Anugerah Kecemerlangan sukan bagi lelaki telah disandang oleh Kusaririe bin Sajili dan kategori wanita disandang oleh Lyliana Abdullah@Cecilia Michael manakala anugerah galakan sukan disandang oleh Hardy bin Suntol.

Sementara Anugerah Pengurusan 2015 bagi Anugerah Kepemimpinan Pengurusan dan Profesional disandang oleh Puan Korina Ibrahim, Anugerah Kepemimpinan Pelaksana disandang oleh Haji Afandi Haji Othman, Anugerah Staf Harapan Pengurusan dan Profesional disandang oleh Adam anak Francis, Anugerah Penghargaan Pelaksana pula disandang oleh Jai bin Rasdi, Alias bin Baki, Mohd Faisal bin Abdullah, Sengah anak Nawas dan Sharkawie bin Alawie.

Selain itu, Anugerah Inovasi ICT Pengurusan pula disandang oleh Bahagian Pentadbiran Am Pembangunan Sistem eClips, Anugerah Webometrics disandang oleh UNIMAS Innovation dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia.

Manakala anugerah akademik terdiri dari Anugerah Pengajaran UNIMAS disandang oleh Haji Syahrul Nizam bin Junaini, Anugerah Pembelajaran Teradun UNIMAS disandang oleh Noorhaslina binti Senin, Anugerah Ahli Akademik Harapan UNIMAS disandang oleh Dr Shanti Faridah binti Salleh, Anugerah Penerbitan Makalah dalam Jurnal Impak Tertinggi UNIMAS (Sains) disandang oleh Profesor Madya Dr Khairuddin Sanaullah, Profesor Dr Amir Azam Khan dan Profesor Madya Dr David Perera.

Anugerah Penerbitan Makalah Dalam Jurnal Impak Tertinggi UNIMAS (Sains Sosial) pula disandang oleh Profesor Madya Dr Lo May Chiun dan Profesor Madya Dr Chen Chwen Jen dan Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk UNIMAS disandang oleh Profesor Dr M Shahidul Islam.

Hadir menyempurnakan majlis bersejarah ini ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UNIMAS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang.

Turut hadir sama dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Datu Dr Hatta bin Solhi, Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Pengarah-Pengarah PTj dan kakitangan UNIMAS. – UNIMAS News, gambar UNIMASimage

Tinggalkan komen anda