ICE 2016 bakal tampilkan syarikat gergasi

SAMARAHAN: UNIMAS Innovation, Career & Education Fair (ICE 2016) yang bakal berlangsung pada 11 Mei dan 12 Mei ini bakal menampilkan kolaborasi daripada syarikat-syarikat gergasi dan multinasional yang menjangkakan lebih banyak penyertaan daripada pelajar-pelajar universiti sekitar negeri ini.

Menurut Mohd Ariff Yusoff selaku Pengarah Program ICE 2016, penganjuran ICE yang telah masuk tahun ketiga ini bertujuan untuk menjadi platform untuk menonjolkan hab bakat mahasiswa dan graduan cemerlang dari UNIMAS serta universiti awam dan swasta lain kepada prospek-prospek kerjaya pilihan masing-masing.

“Sebelum ini, ICE 2016 telah menjalankan pelbagai program pra-ICE seperti Seminar Pengurusan Kewangan, Bengkel Pengucapan Awam, Bengkel Penampilan Diri Studio 1310 serta khidmat komuniti di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA),” katanya.

Mohd Ariff yang juga pelajar UNIMAS menjangkakan seramai 10 ribu pengunjung akan bakal hadir ke ICE 2016, dengan sambutan menggalakkan melalui hebahan melalui media massa, media sosial dan hebahan ke universiti-universiti berhampiran.

Antara program yang bakal berlangsung selama dua hari itu termasuklah pameran kerjaya, taklimat kerjaya dan sesi perkongsian, temuduga terbuka dan cabutan bertuah.

Antara syarikat yang telah mengesahkan kehadiran bagi memeriahkan pameran kerjaya terbesar di Borneo ini adalah Gamuda Berhad, Tokuyama Malaysia, Astro, ACCA, ZECON Berhad dan pelbagai lagi. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda