Graduan menganggur dibantu dapat kerja menerusi GETS: Adenan

KUCHING: Sarawak memperkenalkan program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak atau Graduate Enhancement Training Sarawak (GETS) dalam usaha membantu graduan menganggur di negeri ini mendapat pekerjaan menerusi latihan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, pada masa sama ia membantu menyokong syarikat yang dilantik sebagai Rakan GETS dalam program berkenaan.

“GETS merupakan program pengukuhan kebolehpasaran yang ditawarkan kerajaan negeri dengan kerjasama rakan daripada industri, di mana graduan akan ditempatkan sebagai pelatih GETS bersama syarikat terbabit untuk tempoh 12 bulan.

“Syarikat akan melantik mentor yang dedikasi dan memberi tugasan serta tanggungjawab sewajarnya untuk membantu pelatih GETS mendapatkan kemahiran berkaitan industri yang penting bagi mengukuhkan kebolehpasaran mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2016 sekali gus melancarkan GETS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalannya Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh dan Menteri Muda (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie.

Adenan berkata, semasa latihan selama 12 bulan, pelatih GETS akan disediakan dengan kursus dalam bahasa Inggeris, kemahiran insaniah dan kemahiran keterampilan diri.

Semasa latihan juga, katanya, kerajaan akan memberi elaun latihan kepada pelatih GETS iaitu RM1,000 bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda dan RM800 bagi pemegang Diploma.

“Pengenalan GETS adalah berobjektif pertamanya membolehkan graduan memperolehi pengalaman kerja berharga melalui latihan kerja sebagai pelatih untuk maksimum tempoh satu tahun di sebuah syarikat perniagaan atau perindustrian dan mereka akan menghadiri kursus khas berstruktur.

“Selain itu, ia membantu syarikat untuk menghadapi situasi ekonomi yang mencabar kini. Dengan hanya menyertai GETS mereka boleh mengekalkan perniagaan semasa atau memperluaskannya dengan bantuan pelatih GETS,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau menggesa graduan di negeri ini yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dan Diploma serta masih mencari pekerjaan agar merebut peluang latihan unik itu.

Beliau memberitahu, program dilaksanakan secepat mungkin dan graduan boleh menghubungi Unit Pembangunan Tenaga Kerja di Pejabat Ketua Menteri untuk mendaftarkan diri sebagai pelatih GETS.

“Saya berterima kasih kepada syarikat Rakan GETS dan berharap lebih banyak lagi yang akan menyertai kemudian. Dengan bekerjasama seperti ini, kita boleh mengurangkan pengangguran dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri untuk manfaat kepada rakyat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang pengangguran terutama di kalangan graduan.

Malah, katanya, ia akan melemahkan semangat graduan serta keluarga mereka dan pengangguran berpanjangan boleh membawa kepada masalah sosial lain yang serius. – BorneoPost Online, gambar Facebook TEGAS

Tinggalkan komen anda