Gedong bakal miliki Anjung Usahawan RM3.2 juta

GEDONG: Kampung Gedong akan mempunyai tapak perniagaan yang lebih sempurna apabila kerja membina Anjung Usahawan berharga RM3.2 juta di sini siap sepenuhnya kelak. Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais berkata, Anjung Usahawan itu dibina bagi menggantikan bangunan gerai sedia ada yang usang dan tidak sesuai digunakan.

Katanya, reka bentuk Anjung Usahawan ini telah siap dilakar dan Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa mengarahkan kontraktornya melaksanakan kerja membina bangunan ini secepat mungkin.

“Ini adalah antara lain cara kita (kerajaan) membantu meningkatkan taraf keusahawanan para peniaga atau usahawan kecil di kawasan Gedong. “Usaha ini dilakukan bagi membolehkan usahawan tempatan di kawasan ini akan terus mampu bersaing dengan usahawan yang telah maju di kawasan lain,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Karnival Usahawan dan Kepenggunaan Gedong di sini semalam.

Upacara perasmiannya dilakukan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem. Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber berkata, beliau juga meluluskan peruntukan RM500,000 untuk membina Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Simunjan dan lebih RM500,000 untuk membina RTC serupa di Gayau Padok, Ulu Simunjan.

Menurutnya, apabila siap kelak pusat itu akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk setempat seperti kedai Borneo Mart, premis perniagaan seperti kedai menjahit pakaian dan mesin ATM bagi membolehkan penduduk menyimpan, mengirim dan membuat pengeluaran tunai.

“Sehubungan ini kita (rakyat) tidak mempunyai pilihan lain kecuali perlu menyokong kerajaan negeri di bawah pimpinan Tok Nan supaya beliau terus memiliki mandat yang lebih kuat pada pilihan raya negeri tahun ini,” katanya.

Mengenai Karnival Usahawan dan Kepenggunaan Gedong, Naroden berkata program ini amat baik kerana menggalak dan mendedahkan penduduk tentang keusahawanan.

“Mewakili seluruh penduduk kawasan Simunjan saya berterima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana memilih kawasan Gedong sebagai pusat mengadakan karnival ini pada tahun ini,” katanya. Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar dan Ketua Setiausaha KPDNKK Dato’ Sri Jamil Salleh Zainuddin. – Utusan Sarawak

Tinggalkan komen anda