Faedah caruman PERKESO diperhebat: Riot

SERIAN: Faedah di bawah Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi keputusan positif dalam mesyuarat kabinet persekutuan baru-baru ini apabila peranannya diperhebat dalam memberi lebih manfaat kepada pekerja.

Justeru, Menteri Sumber Manusia Datuk Sri Richard Riot Jaem mengingatkan majikan dan pekerja mengenai kewajipan mencarum bagi yang masih belum berbuat demikian.

“PERKESO sebuah organisasi kerajaan dipertanggungjawab agar jaringan sosial rakyat diperhebat. Justeru, pembukaan pejabat ke-10 PERKESO di negeri ini dalam bahagian Serian bagi memudah pencarum mendapat perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PERKESO Cawangan Serian di sini semalam.

Riot bagaimanapun menolak dakwaan sesetengah pihak menyatakan, penubuhan pejabat PERKESO merupakan gimik pilihan raya yang dijangka diadakan bila-bila masa sahaja lagi.

Katanya, ia sewajarnya tidak dijadi isu mengapi-apikan rakyat sedangkan setiap kemudahan disedia kerajaan bertujuan memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

“Inilah cara kerajaan membantu rakyat dan pekerja. Saya pohon semua majikan dan pekerja mencarum dengan pihak PERKESO.

“Majikan hanya perlu membayar sebanyak 1.75 peratus manakala pekerja yang mencarum perlu membayar 0.5 peratus,” tambahnya.

Setakat ini, seramai 643 syarikat di Serian mencarum untuk pekerjanya manakala pekerja mencarum di bahagian itu sehingga 2015 adalah 4,796 org.

Katanya, kemalangan berlaku sewaktu pekerja dalam perjalanan, sewaktu bekerja atau ddalam perjalanan pulang malah ada yang lumpuh serta hilang anggota badan akibat kemalangan tempat kerja.

Riot berkata, kerajaan telah menyedia sebuah Pusat Rehabilitasi PERKESO di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Melaka bagi memberi kemudahan rawatan bagi pekerja mengalami kecelakaan atau kemalangan semasa bekerja.

“Pusat itu mempunyai pakar dan peralatan canggih serta berteknologi tinggi bagi memulihkan pekerja malah merupakan satu-satunya pusat pemulihan di rantau Asia Tenggara.

“Pusat rehabilitasi itu telah dibuka sejak 2014 telah merawat seramai 960 pesakit sehingga Disember tahun lepas. Buat masa ini, seramai 560 pesakit berdaftar mendapatkn rawatan masing-masing,” katanya.

Ujarnya, bagi pekerja di negeri lain selain Melaka turut disedia hostel sebagai tempat penginapan sementara.

“Hanya 73 peratus pekerja pulih kembali bekerja dengan majikan sama selepas tamatrawatan manakala selebihnya diberikan latihan vokasional dan ada terpaksa bertukar kerja,” katanya lagi.

Bayaran faedah sehingga Disember 2015 sebanyak, RM2.665 bilion dan melalui pecahan itu Sarawak mendapat RM19.37 juta.

Sementara itu, Riot juga merupakan Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ketika ditanya mengenai nama calon bagi kerusi Bumiputera bagi PRN ini berkata, beliau menyerah nama tersebut kepada Ketua Menteri.

“Nama sudah kita berikan tetapi keputusan akhir diputus Ketua Menteri sendiri. Mungkin juga beliau akan mendapatkan nasihat orang lain untuk calon-calon tersebut nanti,” katanya bagi merujuk kepada kerusi Opar, Engkilili, Simanggang dan Mambong. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda