DUN Sarawak bubar 11 April

KUCHING – Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem hari ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubar pada 11 April ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) ke-11 diadakan.

Beliau berkata tarikh berkenaan telah diperkenan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ketika Adenan mengadakan pertemuan dengan beliau di sini pagi tadi.

“TYT (Abdul Taib) meminta supaya DUN Sarawak dibubarkan (untuk pilihan raya negeri diadakan) oleh kerana hanya beliau seorang sahaja yang boleh (ada kuasa) membubarkan DUN di negeri ini.

“Selepas itu terpulanglah pada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan bilakah hari penamaaan calon dan tarikh pengundian,” kata Adenan pada sidang media khas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Penggal DUN Sarawak sekarang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini manakala SPR akan mengadakan mesyuarat bagi memutuskan tarikh penamaan calon dan pengundian sebaik dimaklumkan mengenai pembubaran DUN itu.

Pada pilihan raya negeri 2011 lalu, Barisan Nasional yang ketika itu diterajui Abdul Taib menang 55 daripada 71 kerusi dipertandingkan sementara DAP hanya mendapat 12 kerusi, PKR (3 kerusi) dan bebas (satu kerusi). – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda