Dua sahabat maut dirempuh kereta

KUCHING: Dua sahabat terbunuh akibat cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan berlaku di Jalan Kampung Moyan Ledang, Asajaya dekat sini kelmarin.

Kedua-dua mangsa ialah Jeffry Abu Semah (pembonceng), 25 serta Ikney Dawi (penunggang),38, dan masing-masing berasal dari Kampung Moyan Laut, Asajaya.

Menurut sumber, motosikal ditunggangi kedua-dua mangsa dikatakan tiba-tiba dilanggar sebuah kereta dari arah belakang menyebabkan mereka terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lagi kereta dari arah tersebut.

“Impak rempuhan tersebut menyebabkan kedua-duanya tercampak dari atas motosikal. Orang awam menyaksikan kemalangan berkenaan segera membantu selain turut menghubungi ambulans untuk bantuan,” kata sumber.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala disah meninggal dunia oleh anggota paramedik di tempat kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Adik kepada Jeffry yang ditemui pemberita di HUS memberitahu abangnya merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kami tidak tahu ke mana mereka (mangsa) pergi kerana abang saya juga merupakan OKU dan pendiam,” katanya.

Selain itu, anggota dan pegawai dari cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan juga hadir di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan. – Utusan Borneo

Tinggalkan komen anda