Calon muda & berpengalaman taruhan DAP Sarawak

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak pagi ini mengumumkan 30 calon bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak yang bakal berlangsung pada 7 Mei ini. Pengumuman tersebut dibuat di satu majlis dekat sini, dihadiri oleh kesemua calon DAP.

Daripada 30 calon, DAP mengetengahkan 16 muka baharu, 13 calon pemuda, 6 calon wanita dan 16 calon Bumiputera. Pengerusinya, Chong Chieng Jen berkata, mereka akan bertanding di 17 kerusi majoriti Dayak dan satu kerusi majoriti Melayu, serta akan mempertahankan 12 kerusi yang disandang pada pilihan raya lalu.

Antara calon yang mencuri perhatian adalah pertembungan dua generasi, Abdul Aziz Isa Marindo, 26 yang bakal menentang calon PBB, Dato’ Seri Mohd Ali Mahmud di DUN Stakan. Sebelum ini, Dato’ Seri Mohd Ali Mahmud memenangi kerusi DUN Muara Tuang.

Calon-calon lain yang diumumkan Chieng Jen termasuklah Mordi Bimol (DUN Tasik Biru), Wong King Wei (DUN Padungan), Violet Yong Wui Wui (DUN Pending), dan Chong Chieng Jen (DUN Kota Sentosa).

DUN Batu Kawah akan dipertahankan oleh Chiew Wang See, Sanjan Daik (DUN Mambong), Andrew Nyabe (DUN Kedup), Edward Luak (DUN Bukit Semuja), Leon Jimat (DUN Simanggang) dan Yong Siew Wei (DUN Repok).

DUN Meradong akan dipertahan oleh Ting Tze Fui, Rinda Juliza Alexander (DUN Pakan), Richard Lias (DUN Ngemah), Irene Mary Chang Oi Ling (DUN Bukit Assek), Yap Hoi Liong (DUN Dudong), Chiew Sung Ngie (DUN Bawang Assan) dan David Wong (DUN Pelawan).

Turut diumumkan adalah Frankie Berdindang bagi DUN Pelagus, Paren Nyawi (DUN Katibas), Larry Asap (DUN Bukit Goram), Kenneth Silek (DUN Murum), Chiew Chiu Sing (DUN Tanjong Batu), Leighton Manjah (DUN Kemena), Baba Emperan (DUN Samalaju) dan Alan Ling Sie Kiong (DUN Piasau).

Dr Ting Tiong Choon pula akan diturunkan di DUN Pujut, Dr Baru Langub (DUN Senadin) dan Paul Raja (DUN Mulu).

Pada Pilihanraya Negeri Sarawak 2011, DAP memenangi 12 kerusi majoriti Cina, rekod terbesar parti itu pada pilihanraya negeri. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda