Belia Sarawak digalak sertai seminar ilmu Islam

SAMARAHAN: Masyarakat berbilang kaum terutama belia di negeri ini disarankan untuk menyertai seminar-seminar ilmu berkaitan agama Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dakwah.

Saranan itu dinyatakan sendiri oleh Dr Abdul Halim Bin Hj Busari, Pengarah Pusat Islam Tun Abang Salahuddin Universiti Malaysia Sarawak, dekat sini.

“Belia di negara ini, termasuk di negeri ini harus memperkukuhkan ilmu akhirat sebagai satu bekalan. Pilihan seminar sudah begitu banyak di negeri ini, belia hanya perlu ambil peluang dan ruang untuk hadir,” katanya.

seminar as-sunnah unimas

Beliau ditemui bagi mempromosikan program Seminar As-Sunnah 2016 yang akan diadakan pada 14 Mei dan 15 Mei 2016. Beliau yang juga merangkap Penasihat Karnival Inspirasi Belia UNIMAS 2016 berkata, Seminar As-Sunnah bertujuan untuk memberi pendedahan ilmu hadis dan sunnah Rasulullah SAW khususnya buat pelajar universiti, golongan profesional serta masyarakat awam di negeri Sarawak selain menyemai cinta akan agama dan kesederhanaan dalam kalangan masyarakat berbilang agama,kaum dan keturunan di Sarawak.

Seminar As-Sunnah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS sesi 2015/2016. Sebarang maklumat mengenai Seminar As-Sunnah boleh menghubungi talian 014-546 7708. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda