Belia harus bijak membuat pilihan semasa turun mengundi: Abdul Karim

ASAJAYA: Pengundi khususnya golongan belia harus bijak membuat pilihan semasa turun mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) nanti demi masa depan dan kesinambungan pembangunan negeri ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang memberitahu, untuk itu golongan belia yang telah berdaftar sebagai pemilih tidak harus terikut-ikut dengan ajakan orang lain dalam membuat keputusan untuk memilih.

“Kita telah dikurniakan akal jadi gunakanlah dengan baik untuk berfikir calon mana yang harus dipilih nanti yang boleh membawa kebaikan kepada kawasan ini dan juga negeri Sarawak.

“Justeru, jangan mudah terikut-ikut dengan pandangan orang lain dan apa yang penting tunaikanlah tanggungjawab dengan sebaik-baiknya sebagai pemilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Keusahawanan Belia Bengkel Menggunting Rambut, Solekan dan Tata Rias di Dewan Masyarakat Kampung Tambirat di sini, semalam.

Pada masa sama Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut mengingatkan pengundi yang telah berdaftar agar menjalankan tanggungjawab dengan turun meng-undi pada tarikh yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

“Pada 11 April ini Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dan selepas itu akan diadakan pilihan raya dan masa itulah saya berharap anda yang telah berdaftar sebagai pengundi menjalankan tanggungjawab sepenuhnya,” tambahnya.

Mengenai program itu, beliau menyeru agar golongan belia lebih proaktif melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan bagi menambah pendapatan.

“Lihat apa yang anda boleh lakukan dan yang diminati untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan kerana dalam perniagaan ini ruang untuk berjaya amat luas dan terbuka kepada mereka yang benar-benar gigih untuk berjaya,” tegasnya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial Kameri Affandi. – Borneo Post

Tinggalkan komen anda