Awla: “Terima kasih KM”

KUCHING: Seorang ahli perniagaan, Awla Dris, 54, merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta semua kepimpinan BN dan PBB kerana memilihnnya sebagai calon BN di N.25 Simunjan pada pilihan raya negeri ke-11. Awla adalah antara 11 nama calon BN yang diumumkan oleh Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Ditanya tentang perasaannya apabila dipilih sebagai calon BN, Awla dengan ringkas menjawab perasaannya amat gembira dan sedia memikul tugas sebagai Wakil Rakyat apabila menang dalam pilihan raya negeri kelak. Mengenai harapan dan wawasannya di N.25 Simunjan apabila menang kelak, beliau memberitahu akan meneruskan usaha dan khidmat pemimpin BN sebelum ini dalam membangunkan Simunjan.

Kawasan N.25 Simunjan sebelum ini dikenali sebagai N.21 Simunjan dan kawasan itu disandang oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais. Bagaimanapun, kawasan itu dibahagi dua dalam proses persempanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini. Satu lagi kawasan ialah N.26 Gedong yang mana Mohd Naroden juga telah diumumkan sebagai calon BN di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Cawangan PBB N.21 Simunjan, Raili Ali yang turut gembira dengan pemilihan Awla sebagai calon BN di N.25 Simunjan berkata, beliau bersedia bekerja keras atau berkempen bagi memastikan Awla mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya negeri kelak. “Kita perlu akur dengan pemilihan pucuk pimpinan BN yang memilih Awla sebagai calon BN di N.25 Simunjan. Kemenangan Awla dalam pilihan raya negeri ini amat penting bagi menjamin Simunjan terus maju,” katanya yang juga Setiausaha Kerja PBB bagi N.21 Simunjan sebelum ini. – Utusan Sarawak

Tinggalkan komen anda