Ali Mahmud ke Stakan, Karim kekal di Asajaya

SAMARAHAN: Dato Sri Mohamad Ali Mahmud telah dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Stakan (N17).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan calon BN bagi kerusi tersebut semasa pelancaran jentera pilihanraya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

Beliau juga mengumumkan bahawa Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan mempertahankan kerusi Asajaya.

Bagi kerusi Muara Tuang, beliau berkata beliau akan memutuskan calonnya tidak lama lagi.

Adenan berkata, langkah menambah 11 kerusi baru adalah bagi memastikan suara rakyat akan lebih didengar di persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Saya mahu lebih banyak wakil dari kawasan luar bandar, dan penduduk Stakan mempunyai kerusi sendiri bagi membolehkan suara mereka didengari dalam persidangan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Sebelum itu, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB berkata Samarahan akan berusaha bagi memenangi tiga kerusi untuk BN pada pilihan raya negeri akan datang.

“Kawasan ini adalah sesuatu yang kita boleh banggakan kerana ia adalah kubu kuat BN, dan kami akan terus menyokong BN dengan berusaha memberikan kemenangan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Menteri & isteri, Datin Patinggi Dato Hajah Jamilah Anu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Hajah Rohani Abdul Karim, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Haji Julaihi Narawi, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo. – e-Samarahan

Tinggalkan komen anda