7 buah pasukan memburu gelaran

KEMPEN Liga Samarahan 2016 akan disingkap tirainya pada 3 April depan dan menyaksikan pertembungan tujuh pasukan handalan untuk memburu gelaran juara. Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Ir Haidel Heli menegaskan, pasukan yang turut serta musim ini ialah juara bertahan, Yayasan Sarawak-Sanjung Etika, Sambir Bistari, Ocean Eagle, RG4 F.C, Kapaku F.C, Team Kickalob F.C dan pendatang baharu Cahaya Mata Sarawak F.C. Menurut Ir Haidel, pihaknya menjangka satu pertembungan hebat dijangka berlaku sepanjang saingan liga dijalankan.

Katanya, sebagai mana difahamkan kebanyakan pasukan musim ini yang turut diperkuatkan barisan pemain berpengalaman. “Saingan sengit pasti berlaku sepanjang liga ini dijalankan kerana pasukan bertanding yang akan menyenaraikan bekas pemain yang pernah mewakili skuad negeri selain beraksi dalam Liga Malaysia 2015,” jelas Ir Haidel. Sepak mula pada tarikh tersebut (3 April) membabitkan dua pasukan iaitu Yayasan Sarawak- Sanjung Etika dan Ocean Eagle untuk merebut Piala Sumbangsih (Piala Pusingan Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah).

Aksi kedua-dua pasukan terbabit berlangsung di Padang Bola Sepak, Kompleks Sukan Asajaya (3.00 petang). Dalam perkembangan sama, Ir Haidel turut menyatakan kempen liga musim ini yang hanya akan bermain pada cuti hujung minggu (Sabtu & Ahad) sahaja.

“Tiga buah padang digunakan iaitu Padang Bola Sepak, Kompleks Sukan Asajaya, Padang Bola Sepak Pulapol A dan B,” jelasnya. Sebelum itu, Ir Haidel mengucap terima kasih kepada pihak Cahaya Mata Sarawak (CMS) atas sokongan diberikan dalam menyalur sebahagian dana untuk penganjuran Liga Samarahan 2016. – Utusan Sarawak

Tinggalkan komen anda