5,000 penduduk rayu bina masjid

SAMARAHAN: Lebih 5,000 penduduk Islam yang menghuni 10 taman perumahan di sekitar Kuching-Samarahan Expressway merayu kepada Kerajaan Negeri untuk meluluskan permohonan mereka membina sebuah masjid di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Uni. Garden Kuching-Samarahan Expressway, Rasli Muslimen berkata pihaknya sudah menunggu lebih lapan tahun untuk mendapatkan sebuah masjid bagi memenuhi keperluan penduduk di Uni. Garden, Uni. Square, Uni. Central, Uni. Vista, Uni. Media, Uni.Capital, Central View, Midway Crescent, Riveria dan Tiya Vista.

Menurut beliau, populasi penduduk Islam di kawasan tersebut adalah sekitar 40.85 peratus daripada peratusan penduduk muslim di Kota Samarahan jika dirujuk kepada Pelan Strategik Bahagian Samarahan 2011-2015. Pada awal 2013, pihak jawatankuasa pembinaan masjid pernah memohon sebuah tapak masjid di kawasan perumahan Uni. Garden tetapi tidak mendapat kelulusan.

Pada tahun berikutnya, satu lagi surat permohonan dihantar kepada Jabatan Ketua Menteri tetapi sehingga kini masih lagi belum mendapat sebarang maklum balas. Sementara menunggu harapan mereka ditunaikan, penduduk di kawasan berkenaan terpaksa menunaikan solat di Surau Sementara Uni. Garden.

Menurut Rasli, tidak ada sebuah masjid pun dapat digunakan oleh penduduk Islam menunaikan solat lima waktu atau solat Jumaat di sepanjang jalan Kuching-Samarahan Expressway. Masjid terdekat hanya Masjid Wan Alwi di Tabuan, Masjid Samarindah di Jalan Muara Tuang dan Masjid Desa Ilmu di Taman Desa Ilmu. “Sebab itulah kami merayu kepada Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar memberi pertimbangan terhadap permohonan kami ini,” katanya.

Beliau menambah, dengan terbinanya Masjid Uni.Garden nanti, ia dapat dimanfaatkan oleh semua kawasan perumahan di sepanjang jalan tersebut, bermula dari Taman Tiya Vista hinggalah ke Bulatan Kota Samarahan-Serian-Batu 7.

Sebelum ini, jawatankuasa pembinaan masjid ini pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Survei Kota Samarahan dan beberapa lokasi telah dikenalpasti untuk tujuan berkenaan. Malah pihak jawatankuasa pembinaan masjid sudah menentukan saiz masjid serta kos pembinaan masjid sekitar RM2 juta dan boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah.

“Lokasi pembinaan Masjid Uni.Garden ini adalah strategik dan berpusat serta dijangka mampu memenuhi keperluan penduduk Islam di sepanjang kawasan ini,” ujar beliau. Justeru Rasli yang mewakili penduduk lain, mengharapkan permohonan mereka ini akan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak yang berkenaan sehinggalah masjid yang ditunggu-tunggu oleh semua penduduk ini menjadi kenyataan. – Utusan Sarawak

Tinggalkan komen anda