500 unit tangki air disediakan

SIMUNJAN : Penduduk di kawasan Simunjan akan disediakan tangki air bagi membantu penduduk di kawasan terbabit menghadapi musim panas dan kemarau kelak. Menteri Muda Perancangan Sumber, Datuk Mohd Naroden Majais memberitahu, beliau akan berusaha mendapatkan kira-kira 500 unit tangki air untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang memerlukan.

Menurutnya, cuaca panas dan kemarau kelak mungkin boleh menyebabkan tekanan air di kawasan Simunjan rendah sehingga ada kawasan sukar untuk mendapatkan bekalan air bersih. Malah katanya, dalam masa yang sama usaha juga akan dilaksanakan memastikan setiap ceruk rantau di kawasan Simunjan akan menikmati bekalan air paip secara lebih sempurna.

“Saya akan berusaha mendapatkan kira-kira 500 unit tangki air dan tangki ini kelak akan diagih-agihkan kepada penduduk di kawasan Simunjan te rmasuk Kampung Rangawan untuk mereka membuat simpanan air sebagai persiapan menghadapi cuaca panas dan kering kelak,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara sambutan Program Jelajah Pemuda PBB N.25 Simunjan di Kampung Rangawan dekat sini Sabtu lalu.

Turut hadir pada acara itu ialah Penyelaras N.25 Simunjan, Awla Dris, Ketua PBB Zon 4, Simunjan, Nyanoh anak Jepoon serta beberapa ahli PBB veteran di kawasan N.25 Simunjan dan N.26 Gedong. Mohd Naroden yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) juga mengumumkan bahawa Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera, Jabatan Ketua Menteri sedia menganjurkan kursus asas perniagaan dan usahawan kepada golongan wanita di kawasan Simunjan termasuk penduduk di Kampung Rangawan. Sehubungan ini, bel iau menggesa wanita di kawasan terbabit menyenaraikan bidang kursus yang mereka perlukan dan kursus berkenaan diadakan secara percuma.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dulu lagi sentiasa bersedia membantu rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar supaya mereka terus mampu menikmati taraf hidup yang lebih baik seperti penduduk di kawasan lain. Oleh yang demikian, katanya, rakyat perlu sentiasa bersatu- padu dan memastikan calon BN mendapat kemenangan yang lebih besar dalam pilihan negeri negeri – yang akan diadakan pada bila-bila masa ini.

Sementara itu, Awla Dris dalam ucapan alu-aluanya memuji semangat perpaduan dan kerjasama semua ahli PBB di kawasan N.25 Simunjan kerana sentiasa bersatu dalam menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk Jelajah Pemuda PBB N.25 Simunjan.

Awla juga mengajak semua penduduk terutama ahli PBB supaya sentiasa terus bersatu dan memastikan BN kekal di kawasan Simunjan pada pilihan raya negeri ini kelak.

Sebelum ini, Jelajah Pemuda PBB N.25 Simunjan yang dikelolakan oleh Pergerakan Pemuda PBB N.25 Simunjan telah mengadakan program yang sama di Kampung Sungai Lingkau dan Kampung Sungai Apin. – Utusan Sarawak

Tinggalkan komen anda